10 Rang Undang-Undang 4. Fasal 3 Rang Undang-Undang bertujuan untuk meminda seksyen 3 Akta 15 dan antara pindaan penting adalah seperti yang berikut: (a) di bawah subfasal (a)(i), perbuatan mana-mana orang untuk mengembangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan ketidakpuasan hati terhadap Kerajaan tidak akan lagi menjadi kesalahan di bawah Akta 15. Pindaan ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menjadi lebih terbuka dan dengan itu membolehkan orang awam bebas untuk memberikan maklum balas atau kritikan terhadap Kerajaan agar dapat mewujudkan suatu pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab di Malaysia; (b) subfasal (a)(ii) bertujuan untuk meminda perenggan 3(1)(b) Akta 15 dengan memasukkan misalan untuk menjelaskan bahawa perenggan (b) termasuklah perbuatan mengapi-apikan mana-mana orang atau manamana kumpulan orang untuk menuntut pemisahan mana-mana Negeri dari Malaysia. Tuntutan bagi pemisahan sedemikian sememangnya sudah menjadi perbuatan menghasut di bawah perenggan (b); (c) subfasal (a)(iii) bertujuan untuk memotong perenggan 3(1)(c) Akta 15 yang berhubungan dengan pentadbiran keadilan. Dengan pemotongan ini, apa-apa perbuatan mengembangkan kebencian atau penghinaan atau untuk membangkitkan ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia tidak lagi dianggap sebagai perbuatan menghasut dan oleh itu tidak akan ditangani sebagai suatu kesalahan di bawah Akta 15; (d) subfasal (a)(v) bertujuan untuk memasukkan perenggan baru (ea) ke dalam subseksyen 3(1) Akta 15 untuk menjadikan kesalahan bagi mana-mana orang yang mengembangkan perasaan jahat, permusuhan atau kebencian antara mana-mana orang atau kumpulan orang atas alasan agama. Ini selaras dengan hasrat Kerajaan untuk melindungi kesucian agama yang dianuti oleh masyarakat berbilang agama di Malaysia. Perbuatan menghina dan mempermain-mainkan mana-mana agama boleh menyebabkan ketidakharmonian dan mengancam ketenteraman awam. Walau bagaimanapun, bagi mengelakkan kekeliruan, berhubung dengan agama Islam, agama merujuk kepada Hukum Syarak sebagaimana yang termaktub di bawah mana-mana undang-undang bertulis dan tidaklah termasuk apa-apa ajaran sesat; dan (e) subfasal (c) bertujuan untuk meminda subseksyen 3(3) Akta 15 untuk meluaskan pemakaian peruntukan ini untuk merangkumi penerbitan secara tidak langsung bahan menghasut. 5. Fasal 4 Rang Undang-Undang bertujuan untuk meminda seksyen 4 Akta 15. Pindaan kepada subseksyen 4(1) bertujuan untuk menggantikan hukuman sedia ada bagi kesalahan di bawah subseksyen 4(1) dengan hukuman minimum pemenjaraan selama tempoh tiga tahun sehingga tempoh maksimum tujuh tahun dan meniadakan hukuman denda. Sebagai tambahan kepada peningkatan hukuman di bawah subseksyen 4(1), fasal ini juga bertujuan untuk memasukkan subseksyen baru 4(1 a) untuk mengadakan peruntukan bagi hukuman yang lebih tinggi bagi kesalahan di bawah Akta jika kecederaan tubuh badan atau

اختر الفقرة المستهدفة3