10
Rang Undang-Undang
4. Fasal 3 Rang Undang-Undang bertujuan untuk meminda seksyen 3
Akta 15 dan antara pindaan penting adalah seperti yang berikut:
(a) di bawah subfasal (a)(i), perbuatan mana-mana orang untuk
mengembangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan
ketidakpuasan hati terhadap Kerajaan tidak akan lagi menjadi
kesalahan di bawah Akta 15. Pindaan ini adalah selaras dengan hasrat
Kerajaan untuk menjadi lebih terbuka dan dengan itu membolehkan
orang awam bebas untuk memberikan maklum balas atau kritikan
terhadap Kerajaan agar dapat mewujudkan suatu pentadbiran yang
telus dan bertanggungjawab di Malaysia;
(b) subfasal (a)(ii) bertujuan untuk meminda perenggan 3(1)(b) Akta 15
dengan memasukkan misalan untuk menjelaskan bahawa perenggan (b)
termasuklah perbuatan mengapi-apikan mana-mana orang atau manamana kumpulan orang untuk menuntut pemisahan mana-mana Negeri
dari Malaysia. Tuntutan bagi pemisahan sedemikian sememangnya
sudah menjadi perbuatan menghasut di bawah perenggan (b);
(c) subfasal (a)(iii) bertujuan untuk memotong perenggan 3(1)(c) Akta 15
yang berhubungan dengan pentadbiran keadilan. Dengan pemotongan
ini, apa-apa perbuatan mengembangkan kebencian atau penghinaan
atau untuk membangkitkan ketidakpuasan hati terhadap pentadbiran
keadilan di Malaysia tidak lagi dianggap sebagai perbuatan menghasut
dan oleh itu tidak akan ditangani sebagai suatu kesalahan di bawah
Akta 15;
(d) subfasal (a)(v) bertujuan untuk memasukkan perenggan baru (ea)
ke dalam subseksyen 3(1) Akta 15 untuk menjadikan kesalahan bagi
mana-mana orang yang mengembangkan perasaan jahat, permusuhan
atau kebencian antara mana-mana orang atau kumpulan orang atas
alasan agama. Ini selaras dengan hasrat Kerajaan untuk melindungi
kesucian agama yang dianuti oleh masyarakat berbilang agama
di Malaysia. Perbuatan menghina dan mempermain-mainkan
mana-mana agama boleh menyebabkan ketidakharmonian dan
mengancam ketenteraman awam. Walau bagaimanapun, bagi
mengelakkan kekeliruan, berhubung dengan agama Islam, agama
merujuk kepada Hukum Syarak sebagaimana yang termaktub
di bawah mana-mana undang-undang bertulis dan tidaklah termasuk
apa-apa ajaran sesat; dan
(e) subfasal (c) bertujuan untuk meminda subseksyen 3(3) Akta 15 untuk
meluaskan pemakaian peruntukan ini untuk merangkumi penerbitan
secara tidak langsung bahan menghasut.
5. Fasal 4 Rang Undang-Undang bertujuan untuk meminda seksyen 4
Akta 15. Pindaan kepada subseksyen 4(1) bertujuan untuk menggantikan hukuman
sedia ada bagi kesalahan di bawah subseksyen 4(1) dengan hukuman minimum
pemenjaraan selama tempoh tiga tahun sehingga tempoh maksimum tujuh
tahun dan meniadakan hukuman denda. Sebagai tambahan kepada peningkatan
hukuman di bawah subseksyen 4(1), fasal ini juga bertujuan untuk memasukkan
subseksyen baru 4(1 a) untuk mengadakan peruntukan bagi hukuman yang
lebih tinggi bagi kesalahan di bawah Akta jika kecederaan tubuh badan atau