Hasutan (Pindaan) 11 kerosakan harta benda telah disebabkan akibat daripada pelakuan kesalahan itu. Dalam hal sedemikian, hukuman minimum pemenjaraan selama lima tahun dan hukuman maksimum pemenjaraan selama dua puluh tahun boleh dikenakan untuk mengambil kira keseriusan kesalahan itu. 6. Fasal 5 Rang Undang-Undang bertujuan untuk memasukkan seksyen baru 5a dan 5b ke dalam Akta 15. Seksyen baru 5a memperuntukkan bahawa jika seseorang dipertuduh atas kesalahan di bawah subseksyen 4(1a) dan terdapat perakuan secara bertulis Pendakwa Raya yang menyatakan bahawa jaminan tidak boleh diberikan kepada orang yang dipertuduh demi kepentingan awam, orang itu tidak boleh dilepaskan dengan jaminan. Seksyen baru 5a adalah selaras dengan cadangan untuk mengenakan hukuman yang lebih tinggi bagi kesalahan hasutan yang menyebabkan kecederaan tubuh badan dan kerosakan harta benda. Seksyen baru 5b bertujuan untuk memberi mahkamah kuasa untuk menghalang seseorang yang dipertuduh di bawah seksyen 4 yang dilepaskan dengan jaminan daripada meninggalkan Malaysia. Ini termasuklah memerintahkan orang yang dipertuduh itu menyerahkan dokumen perjalanannya. Dalam hal keadaan seseorang yang dipertuduh yang tidak memiliki apa-apa dokumen perjalanan, mahkamah boleh memerintahkan Ketua Pengarah Imigresen untuk tidak mengeluarkan apa-apa dokumen perjalanan kepada orang itu. 7. Fasal 6 Rang Undang-Undang bertujuan untuk meminda seksyen 6 Akta 15. Dengan pindaan ini, mahkamah hendaklah menggunakan hukum keterangan biasa berkenaan dengan kebolehpercayaan saksi dalam kes hasutan. 8. Fasal 7 Rang Undang-Undang bertujuan untuk memasukkan seksyen baru 6a ke dalam Akta 15. Seksyen baru 6a menyatakan bahawa seksyen 173a, 293 dan 294 Kanun Tatacara Jenayah tidak terpakai berkenaan dengan kesalahan di bawah subseksyen 4(1a) Akta 15. 9. Fasal 8 Rang Undang-Undang bertujuan meminda seksyen 10 Akta 15 bagi memberi Mahkamah kuasa untuk mengeluarkan perintah bagi penghapusan penerbitan menghasut yang dibuat secara elektronik, seperti penerbitan dalam talian. 10. Fasal 9 Rang Undang-Undang bertujuan untuk memasukkan seksyen baru 10a ke dalam Akta 15. Di bawah seksyen baru ini, kuasa diberikan kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah mengenai penerbitan menghasut yang dibuat secara elektronik oleh orang yang tidak dapat dikenal pasti. Bagi maksud ini, memandangkan pelaku tidak dapat dikenal pasti, perintah ini hendaklah dikeluarkan kepada pegawai diberi kuasa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk menghalang capaian kepada penerbitan itu. 11. Pindaan lain yang tidak diperkatakan secara khusus dalam Huraian ini merupakan pindaan kecil atau berbangkit. IMPLIKASI KEWANGAN Rang Undang-Undang ini tidak akan melibatkan Kerajaan dalam apa-apa perbelanjaan wang tambahan. [PN(U2) 2961]

اختر الفقرة المستهدفة3