Hasutan (Pindaan)
11
kerosakan harta benda telah disebabkan akibat daripada pelakuan kesalahan
itu. Dalam hal sedemikian, hukuman minimum pemenjaraan selama lima tahun
dan hukuman maksimum pemenjaraan selama dua puluh tahun boleh dikenakan
untuk mengambil kira keseriusan kesalahan itu.
6. Fasal 5 Rang Undang-Undang bertujuan untuk memasukkan seksyen baru
5a dan 5b ke dalam Akta 15. Seksyen baru 5a memperuntukkan bahawa jika
seseorang dipertuduh atas kesalahan di bawah subseksyen 4(1a) dan terdapat
perakuan secara bertulis Pendakwa Raya yang menyatakan bahawa jaminan
tidak boleh diberikan kepada orang yang dipertuduh demi kepentingan awam,
orang itu tidak boleh dilepaskan dengan jaminan. Seksyen baru 5a adalah
selaras dengan cadangan untuk mengenakan hukuman yang lebih tinggi bagi
kesalahan hasutan yang menyebabkan kecederaan tubuh badan dan kerosakan
harta benda. Seksyen baru 5b bertujuan untuk memberi mahkamah kuasa untuk
menghalang seseorang yang dipertuduh di bawah seksyen 4 yang dilepaskan
dengan jaminan daripada meninggalkan Malaysia. Ini termasuklah memerintahkan
orang yang dipertuduh itu menyerahkan dokumen perjalanannya. Dalam hal
keadaan seseorang yang dipertuduh yang tidak memiliki apa-apa dokumen
perjalanan, mahkamah boleh memerintahkan Ketua Pengarah Imigresen untuk
tidak mengeluarkan apa-apa dokumen perjalanan kepada orang itu.
7. Fasal 6 Rang Undang-Undang bertujuan untuk meminda seksyen 6
Akta 15. Dengan pindaan ini, mahkamah hendaklah menggunakan hukum keterangan
biasa berkenaan dengan kebolehpercayaan saksi dalam kes hasutan.
8. Fasal 7 Rang Undang-Undang bertujuan untuk memasukkan seksyen baru
6a ke dalam Akta 15. Seksyen baru 6a menyatakan bahawa seksyen 173a, 293
dan 294 Kanun Tatacara Jenayah tidak terpakai berkenaan dengan kesalahan
di bawah subseksyen 4(1a) Akta 15.
9. Fasal 8 Rang Undang-Undang bertujuan meminda seksyen 10 Akta 15 bagi
memberi Mahkamah kuasa untuk mengeluarkan perintah bagi penghapusan
penerbitan menghasut yang dibuat secara elektronik, seperti penerbitan dalam
talian.
10. Fasal 9 Rang Undang-Undang bertujuan untuk memasukkan seksyen baru
10a ke dalam Akta 15. Di bawah seksyen baru ini, kuasa diberikan kepada
mahkamah untuk mengeluarkan perintah mengenai penerbitan menghasut yang
dibuat secara elektronik oleh orang yang tidak dapat dikenal pasti. Bagi maksud
ini, memandangkan pelaku tidak dapat dikenal pasti, perintah ini hendaklah
dikeluarkan kepada pegawai diberi kuasa di bawah Akta Komunikasi dan
Multimedia 1998 untuk menghalang capaian kepada penerbitan itu.
11. Pindaan lain yang tidak diperkatakan secara khusus dalam Huraian ini
merupakan pindaan kecil atau berbangkit.
IMPLIKASI KEWANGAN
Rang Undang-Undang ini tidak akan melibatkan Kerajaan dalam apa-apa
perbelanjaan wang tambahan.
[PN(U2) 2961]